Thursday, November 25, 2010

Balik Kampung Part I


ALIA gadis pantai timur. Sejak tamat persekolahan sehingga bergelar siswazah, dia banyak merantau ke negeri orang. Penuhi misi negara sebagai pelatih PLKN di Negeri Sembilan selama 3 bulan. Ke utara tanah air sebagai pelajar matrikulasi lepas SPM yang keputusannya cemerlang tapi tak cukup cemerlang untuk dia ke seberang laut. Selepas setahun bergelut dengan kuliah yang agak padat macam orang bekerja, main-main dengan bahan kimia dan tikus, bergelut lagi dengan buku dan nota-nota,dia ke pantai barat semenanjung Malaysia untuk teruskan cita-cita. 5 tahun di sana untuk penuhi impian jadi siswazah perubatan yang berjaya. Bukan sahaja untuk diri sendiri tapi juga untuk buat ibu dan ayahnya tersenyum bangga.


Kalau dikira dengan jari tak perlu kalkulator pun, lebih kurang 7 tahun Alia merantau ke negeri orang. Jauh dari keluarga dan kaum kerabat. Selama 7 tahun itu juga lah, terpaksa digunakan pengangkutan bas ekspres yang tak berapa nak selamat untuk pulang ke kampung halaman. Ke pangkuan keluarga tercinta bila tiba musim perayaan atau cuti semester.



...sekadar gambar hiasan

Selama 7 tahun itu juga, macam-macam pengalaman yang terpaksa diempuhi. Lebih tepat pengalaman apabila bersama dengan penumpang lelaki yang lain. Bukan pengalaman manis yang seronok untuk dikenang tapi pengalaman yang menyakitkan hati dan boleh kata agak menggelikan. Ada juga pengalaman yang kelakar.

KES 1


Pernah semasa hendak pulang ke matrikulasi dari kampung, dia terpaksa duduk bersebelahan dengan seorang lelaki yang persis penagih dadah.


"Ish, kecewa tul. Baru ingat nak duduk tepi tingkap. Ada mamat ni pulak." Omel hatinya bila melihat lelaki yang terlebih dahulu duduk di tempat duduk bersebelahan dengannya. Alia pasrah. Memang begitu nasib bila naik bas ekspres. Tak tahu siapa penumpang di sebelah. Lebih-lebih lagi perjalanan dari kampung halaman ke tempat belajarnya, tiada bas yang tempat duduknya single. Kalau ada pun, perlu naik di hentian yang jauh dari rumahnya.


Alia duduk. Tidak selesa.


"Boleh sakit pinggang aku ni. Aku bayar tiket mahal-mahal, boleh pulak buat bas tempat duduk macam ni". Dia merungut tapi cuma di dalam hati. Kerusinya memang sempit dan kusyennya tidak selembut sofa di rumah.


5 minit berlalu, Alia mula perasan sesuatu yang tidak kena pada lelaki disebelahnya. Memang seawal dia duduk di tempat duduknya itu, lelaki itu sudah sedia diulit mimpi. Dalam samar-samar cahaya lampu neon di sepanjang perjalanan, dia nampak wajahnya yang begitu selekeh. Bau tak perlu dijelaskan dengan lebih lanjut, memang mampu buat sesiapa saja muntah.




"Pelik sangat mamat ni. Bau semacam je. Nak kata rokok, tak ada la kuat macam ni. Dah la duduk macam tempat ni dia sorang je punye. Aku pulak yang kena mengelak-elak. Dah tau kaki tu panjang, pegi lagi bawa naik beg yang besar gedabak tu naik atas bas ni apahal. Pastu mula la kaki panjang tu masuk dalam area aku ni. Sempit tau tak?" Cuma mampu menyumpah di dalam hati. Dia pendiam, takut untuk bersuara walaupun itu haknya.

Sekali tengok lelaki itu macam selesema. Tapi betul ke selesema. Dia curiga. Dalam ketidakselesaan, dia cuba untuk tidur. Tak berjaya. Dia mula rasakan sesuatu.

"Nape pulak kaki mamat ni makin dekat ngan kaki aku ni. Macam sengaja je." Dia pusingkan kepala ke kiri. Lelaki tu masih tidur.

"Betul ke tidur mamat ni? Macam buat-buat tidur je. Takkan la tidur buas sangat sampai sebelah kaki memang dah masuk separuh seat aku. Ish, tak suka. Sah, memang spesis gatal. Tapi nak cover, tak nak bagi nampak sangat, buat-buat tidur. Huh!" Alia dapat rasakan bahang dari lelaki diesebelahnya itu. Hatinya panas.

Yang pasti malam itu, Alia langsung tak dapat tidur. Terpaksa duduk bersilang kaki untuk mengelak kaki kirinya tersentuh kaki panjang lelaki yang memaksanya jadi burung hantu sepanjang perjalanan. Takut apa-apa berlaku padanya. Kalau bukan diri sendiri dalam bahaya, beg duit dan laptopnya perlu dijaga. Keesokannya, sampai ke kolej kediaman dengan pinggang yang sakit dan mata lebam persis beruang panda. Namun dia bersyukur, tak ada apa-apa yang berlaku padanya.

bersambung...

No comments: